Wednesday, July 15, 2009

Kepimpinan MB Selangor dipersoalkan

ISU rombakan barisan Exco Selangor berterusan dan semakin hangat diperkatakan apabila Mohd. Azmin Ali meningkatkan desakan supaya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melakukan sesuatu.Setelah menggemparkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan kenyataan-kenyataan pedas pada Khamis minggu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu sekali lagi mencuri tumpuan terhadap isu yang sama lima hari kemudian.Pada serangan pertama, Azmin mahu barisan Exco dibubar kerana pemimpin-pemimpin di kalangan parti Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), gagal menjalankan tanggungjawab memajukan negeri itu.

Tegasnya, kegagalan itu berlaku kerana barisan Exco yang dilantik tidak mampu melaksanakan prinsip pentadbiran baik, demokrasi dan hak asasi manusia dan kebebasan, yang menjadi asas penubuhan kerajaan campuran Selangor satu setengah tahun lalu.Kekangan itu menjadikan halangan besar bagi pakatan kerajaan campuran untuk memajukan Selangor setelah berjaya merampasnya daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tahun lalu.Sebab itu di sidang dewan itu Azmin menetapkan pendirian bahawa jika barisan Exco tidak mampu menuruti dan mematuhi prinsip tersebut, kerajaan negeri tiada pilihan lain selain merombak dan menukar barisan Exco sedia ada.

Namun pada Isnin lalu, nada Azmin selaku ketua backbenchers agak lembut sikit dengan menyebut bahawa cadangan beliau bukan bermaksud Menteri Besar mesti memecat mana-mana anggota Exconya.Sebaliknya rombakan boleh dilakukan dengan menukar portfolio Exco yang ada.Tetapi beliau sempat memberi kenyataan sinis bahawa tindakan itu terserah kepada Abdul Khalid yang turut menegaskan kepada media iaitu rombakan Exco tidak akan dilakukan.
Dalam soal ini Abdul Khalid melihat beliau tidak perlu mengikut telunjuk Azmin malah menganggap serangan tersebut tidak lebih daripada satu cadangan sahaja.

Lumrahnya jika cadangan tidak semestinya perlu diterima sebulat suara, lebih-lebih lagi pada pandangan Abdul Khalid, barisan Exco pilihannya sudah menunjukkan tahap kerja yang diharapkan. Perbezaan pendapatan dan pandangan itu kebetulannya dari pemimpin-pemimin Parti Keadilan Rakyat (PKR). Azmin berjawatan Naib Presiden dan Abdul Khalid pula pemimpin parti peringkat negeri Selangor. Tetapi 'tiada angin masakan pokok bergoyang'. Atas alasan-alasan kukuh diyakini telah mendorong desakan merombak Exco dibuat. Kalau dilihat cara serangan Azmin ternyata beliau bersungguh-sungguh mahu cadangan beliau dilaksanakan. Selaku Menteri Besar, Abdul Khalid telah bertindak wajar mempertahankan anak-anak buahnya. Tetapi berapa lama ia mahu dipertahankan.

Wajarkah tindakan tersebut sekiranya memang banyak bukti dapat dinyatakan bahawa barisan pimpinan kerajaan campuran di Selangor sebenarnya pincang tidak seindah seperti yang diuar-uarkan kepada masyarakat di bandar atau di desa. Secara tersirat atau tidak Abdul Khalid turut perlu menerima kenyataan bahawa kumpulan backbenchers sudah mula mempersoalkan cara kepimpinannya. Gerakan ini muncul mungkin cara beliau dan barisannya yang lebih gemar bercakap mengenai keburukan kerajaan negeri terdahulu daripada membiarkan Selangor terus kekurangan sumber kewangan untuk mentadbir kerajaan.
Posting by:- NOR SEDEK ISMAIL

No comments:

Post a Comment