Monday, July 6, 2009

UMNO perlu lakukan kejutan di Manek Urai

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Manek Urai pada 14 Julai ini merupakan siri pilihan raya kecil ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12). Kematian wakil rakyatnya, Ismail Yaacob yang mewakili Pas pada 22 Mei lalu menyebabkan PRK tersebut terpaksa diadakan. Penamaan calon diadakan hari ini dan ia bermakna, parti-parti yang bertanding hanya mempunyai lapan hari untuk berkempen sebelum tarikh pengundian. Persaingan sengit dijangka berlaku antara dua parti yang secara tradisinya bersaing untuk mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu iaitu UMNO dan Pas. Bagaimanapun mungkin ada calon-calon bebas yang cuba menawarkan diri bertanding seperti di Bukit Gantang pada 7 April lalu yang menyaksikan persaingan tiga penjuru antara UMNO, Pas dan bebas.

Bagaimanapun bagi Manek Urai, sekiranya ada calon bebas yang menawarkan diri, ia bukan sahaja dilihat sebagai tidak relevan, malah tidak mampu untuk memberi saingan pada UMNO dan Pas. Hampir pasti calon bebas itu akan hilang wang pertaruhan! Persaingan UMNO dan Pas pada pilihan raya kecil di Manek Urai ini dijangka menarik perhatian ramai khususnya penganalisis politik, kumpulan pemikir dan jentera kempen kedua-dua parti untuk melakukan "bedah siasat" selepas keputusannya diketahui nanti sebagai persediaan menghadapi PRU 13.

Manek Urai merupakan kubu kuat Pas sejak sekian lama. Mengikut rekod, Pas tidak pernah kalah kecuali pada PRU 11 iaitu pada 2004. Ketika itu Ismail atau lebih dikenali sebagai Paksu Will, wakil Pas di kerusi DUN itu sejak 1986, tidak terpilih sebagai calon dan digantikan oleh Mohd Zamzuri Mat Lazim yang tewas di tangan wakil UMNO, Zulkepli Omar dengan majoriti 53 undi. Pada PRU 2008, Pas menang bergaya dengan pertambahan majoriti 1,352 undi apabila Paksu Will bertanding semula.

Keputusan Manek Urai pada 14 Julai nanti mampu beberapa petunjuk penting antaranya:-

1. Sokongan majoriti pengundi Melayu.

Jumlah pengundi keseluruhannya ialah 12,292 dengan pecahan pengundi mengikut kaum iaitu Melayu terdiri daripada 99.3 peratus; Cina (0.4 peratus), India (0.2 peratus) dan kaum lain sebanyak 0.1 peratus. Keputusan PRK ini mampu memberi satu gambaran jelas antara dua parti dominan utama orang Melayu iaitu UMNO dan Pas, parti manakah yang mampu menarik sokongan majoriti orang Melayu. Walaupun berdasarkan rekod, DUN Manek Urai merupakan kubu kuat Pas tetapi tidak mustahil UMNO mampu membuat kejutan seperti mana yang berlaku sewaktu PRK 2005 di DUN Pengkalan Pasir. Harus diingat PRK tidak sama dengan PRU apabila ia akan menjadi tumpuan seluruh pelosok negara terutamanya kerja keras di dalam memenangi hati pengundi daripada kedua-dua jentera parti yang bertanding.

2. Kerajaan perpaduan dan konsep Satu Malaysia.

Isu kerajaan perpaduan itu dicanangkan oleh Presiden Pas dan mendapat maklum balas positif dengan sikap keterbukaan UMNO khasnya Presidennya yang juga Perdana Menteri. Namun akhirnya ia mengecewakan ramai orang Melayu apabila kenyataan media pada 22 Jun lalu oleh ketua pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara jelas menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan. Bagaimanapun, isu ini harus dimainkan dengan cara yang sewajarnya oleh UMNO. Parti itu perlu meyakinkan majoriti pengundi tentang kepentingan kerajaan perpaduan dan memberi penjelasan tentang konsep Satu Malaysia: "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" dengan sejelas-jelasnya. Jika ini dapat dilakukan, tidak mustahil UMNO mampu membuat kejutan dengan memenangi kerusi DUN Manek Urai. Sekiranya keputusan PRK ini memihak kepada UMNO, maka kesimpulan daripada terjemahan undi di kawasan itu menunjukkan majoriti orang Melayu menyokong idea kerajaan perpaduan. Mereka juga mendokong konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri tersebut.

3. Pengundi baru

PRK Dun Manek Urai menyaksikan kira- kira 20 peratus daripada jumlah yang layak mengundi iaitu hampir 3,000 orang adalah pengundi baru.Sokongan majoriti pengundi baru ini adalah faktor penting penentu kemenangan parti yang bertanding. Jika dilihat daripada rekod PRU Manek Urai pada 2004 dan 2008, kemenangan calon masing masing dengan majoriti 53 undi dan 1,352 undi sahaja. Pihak yang mampu mempengaruhi pola pengundi baru akan mampu beroleh kemenangan . Keputusan di Manek Urai diharap dapat membantu UMNO dan Pas mencorak dan membuat pengubahsuaian terhadap strategi masing-masing untuk gerak kerja dan gerak gempur parti bagi menghadapi PRU13. Meskipun tempoh dianggap masih panjang tetapi pertambahan pengundi di saluran 3 iaitu pengundi muda atau pengundi yang pertama kali layak mengundi akan secara jelas mempengaruhi pola pengundian dan menjadi faktor penentu kejayaan. Oleh itu jentera parti perlu mempergiatkan lagi usaha menawan hati pengundi tanpa perlu menunggu tarikh pembubaran Dewan Rakyat. Mulakan sewaktu persediaan di Manek Urai ini.
Posting by: NADZIR AWANG AHMAD

No comments:

Post a Comment