Thursday, July 16, 2009

Isyarat pengundi Manek Urai

DATUK Mustapa Mohamed yang menerajui jentera Barisan Nasional (BN) belum pun lagi menghela nafas melepaskan penat ketika keputusan diketahui. Namun beliau kelihatan tenang ketika menunggu ketibaan pihak media untuk mendapatkan ulasannya. Tidak pula tercetus nada kesal. Beliau reda menerima kekalahan di kubu kuat Pas itu. Kekalahan yang dianggap oleh banyak pihak sebagai penunjuk arah kepada 'kebangkitan' semula UMNO di Kelantan. Pengundi telah membuat keputusan kelmarin. Mereka memutuskan untuk mengekalkan kemenangan Pas di Manek Urai. Tetapi parti itu hampir dimalukan dengan hanya bersandarkan majoriti 65 undi, ketika ia mengharapkan majoriti lebih besar berbanding pilihan raya umum lalu.

Apatah lagi sejak petang pengundian, sudah kedengaran desas-desus di kalangan penyokong parti itu bahawa majoriti kira-kira 2,000 undi sudah dalam tangan. Mereka yakin memperoleh lebih banyak majoriti. Mereka begitu yakin hingga waktu kertas-kertas undi mula dikira. Namun ia cukup mencemaskan apabila peti-peti terakhir mula dihitung kembali di pusat penjumlahan. Rupanya ramai yang keberatan menonjolkan perubahan pendirian mereka agar tidak menimbulkan masalah daripada segi hubungan kemasyarakatan agar tidak dimusuhi.

Barangkali juga, jika tidak kerana undi rosak sebanyak 117, keputusan boleh berubah dan BN mampu membuat kejutan besar yang sekali gus mencetuskan kemeriahan suasana politik baru di Kelantan dan menggelorakan Pas. Bagaimanapun, kemenangan tetap kemenangan biarpun dengan kelebihan satu undi. Kemenangan telah berpihak kepada Mohd. Fauzi Abdullah, 50, sebagai wakil rakyat baru Manek Urai. Kini pemborong ikan itu tentunya tidak lagi punya banyak masa untuk menguruskan perniagaannya di pasar. Terbukti ia suatu persaingan yang sengit dengan keupayaan hampir seimbang. Namun bagi UMNO dan BN yang berhempas pulas untuk meyakinkan rakyat di pedalaman ini, ia mungkin sekadar cukup sebagai suatu "kemenangan moral."

Bagi UMNO, ia merupakan satu lonjakan semangat yang besar kerana di sini adalah kubu kuat Pas. Kalau disandar perkiraan di atas kertas, awal-awal lagi UMNO sudah tewas. Manek Urai dan Pas sebelum ini begitu sinonim. Namun UMNO/BN kembali menguasai lima daripada sembilan peti undi. Ia termasuk pengundi di Manek Urai Lama dan Manek Urai yang mungkin mengharapkan kemudahan lebih baik. Mereka mungkin mahu menyaksikan janji BN direalisasikan termasuk pembinaan jambatan baru bagi meneruskan kehidupan sementara menunggu jambatan "siratulmustaqim". Kawasan DUN Manek Urai melibatkan hampir 100 peratus pengundi Melayu yang berada dalam lingkaran kehidupan kampung di pedalaman yang mudah dan bersahaja dari kaca mata luar. Dalam suasana itu, cukup mudah untuk Pas terus melekatkan jenama politiknya sekian lama, namun dengan mengetepikan penyokong tegar yang tidak begitu banyak berubah, aliran pemikiran generasi muda dan atas pagar mula berpaling daripadanya.

Mereka inilah yang mungkin dikaitkan dengan singkatan "PSB" yang didengar, dilaungkan oleh anak muda di Kampung Manek Urai Lama iaitu Parti Sdn. Bhd. yang berhak memutuskan pendirian sendiri. Mengikut sejarah pilihan raya, memang Pas mempunyai kelebihan besar di sini. Sejak dua dekad lalu ia cuma tewas pada 2004 ketika BN menang dengan majoriti 53 undi. Pada 2008, Pas kembali bangkit dengan majoriti besar 1,352.

Namun majoriti yang diraih Pas menerusi Allahyarham Ismail Yaacob pada pilihan raya umum dulu, kini merosot berpuluh kali ganda dengan 1,267 undi dihakis. Pilihan raya kecil ini mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 87.33 peratus atau 10,736 pengundi iaitu yang tertinggi selepas rentetan enam siri pilihan raya kecil sebelum ini. Mungkin kerana disebabkan mereka semakin sedar dan pentingnya memilih wakil rakyat yang bukan sekadar memberi kesan kepada parti-parti yang bertanding tetapi juga kehidupan mereka. Keputusan itu terserlah ketika perjalanan kempen dan pengundian lancar dan aman tanpa banyak gegaran sebagaimana lazimnya dengan soal pengundi hantu, soal ugutan, rasuah dan salah guna kuasa.

Apakah isyarat yang cuba disampaikan pengundi di Manek Urai kepada Pas? Barangkali ia isyarat awal untuk Pas agar tidak angkuh kerana hakisan pengaruh semakin jelas. Penglibatan total Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya sekadar menahan daripada rebah sedangkan parti itu dikatakan berada dalam keadaan begitu kukuh sebelum ini. Pas sangat yakin di Manek Urai. Strategi Pas meletakkan Tok Guru Nik Aziz sebagai modal utama tidak banyak memberi kesan biarpun beliau sanggup menyerang dengan "membinatangkan" dan "mengkafirkan" pihak lawan.

Namun seperti biasa Pas masih tidak berpuas hati dengan kemenangan itu. Ia mengaitkan jumlah majoriti yang semakin kurang itu dengan permainan politik wang. Malah penggunaan jentera kerajaan juga dikaitkan dengan kemelesetan jumlah majoriti tersebut. Namun tentunya pengundi juga sedar dan arif apa yang Pas dan Kerajaan Negeri Keantan lakukan untuk terus bertapak di Manek Urai. Kalangan pemerhati berpendapat, di sini maruah Pas Kelantan dan Nik Abdul Aziz menjadi taruhan, bagi mengelak daripada dendangan kata-kata "di sinilah permulaan kejatuhan Pas." Bagi UMNO pula, Manek Urai dilihat sebagai rangsangan titik mula untuk UMNO bangkit menyedarkan dan meyakinkan rakyat bahawa ia dapat melakukan sesuatu yang lebih baik bagi membela agama dan nasib bangsa. Sekurang-kurangnya ujian awal ini dapat dijadikan pengukur di tahap mana keupayaan UMNO yang sedang diberi nafas baru oleh Mustapa bagi menghadapi pilihan raya umum kelak.

Ia juga pastinya menerbitkan rasa kesal sebilangan mereka yang dikaitkan dengan jentera parti kerana jika mereka ikhlas dan bersungguh-sungguh sebagaimana jentera Pas, mereka mampu membantu memberi kemenangan. Cuma waktu sudah terlewat di Manek Urai. Namun masih banyak lagi cabaran menanti sehingga menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.


Posting by: WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

1 comment:

  1. UMNO tak perlu guna wang untuk pancing undi...perjuangan pas lebih telus...hanya yang memahani yang faham erti perjuangan sebenar...

    ReplyDelete