Wednesday, July 8, 2009

PRK - Tidak perlu main taktik kotor di Manek Urai

WALAUPUN dibanjiri ribuan penyokong, proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.Sudah sah, calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat akan ditentang calon Pas, Mohd. Fauzi Abdullah pada pilihan raya yang akan berlangsung pada 14 Julai ini.Namun, di sebalik proses penamaan calon yang berjalan lancar itu, ia bukan satu jaminan bahawa kempen yang bakal digerakkan adalah kempen yang bersih dan gentlemen. Ini terbukti apabila Pas tanpa berlengah lagi mula bermain taktik kotor dengan menyerang peribadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.Tanpa rasa bersalah, Pas menuduh Mustapa menyekat bantuan kewangan Kerajaan Pusat untuk Kelantan sedangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu telah banyak membantu pembangunan Kelantan.Faktor jasa Mustapa selama ini sebenarnya yang menggerunkan Pas sehingga memaksa mereka melakukan 'serangan' seawal minit pertama dengan harapan pengundi akan terpedaya.


Ada juga kemungkinan Pas cuba mengalihkan tumpuan pengundi daripada krisis kepimpinan dalam parti itu kepada isu-isu lain dan serangan peribadi sering menjadi pilihan pemimpin parti tersebut.Ketiadaan Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa pada hari penamaan calon kelmarin memberikan bayangan bahawa krisis kepimpinan Pas sebenarnya masih belum selesai.Dengan peluang untuk menang yang seimbang dan faktor pengundi yang semakin rasional, Pas melihat mereka perlu bertindak awal untuk menjejaskan reputasi dan imej BN.
Pas menyedari bahawa rekod kemenangan masa lalu bukan jaminan kemenangan pada pilihan raya kali ini.Namun, sebagai sebuah parti yang matang dan mendakwa berteraskan Islam, Pas sewajarnya sudah tidak mengaplikasi lagi kaedah serangan peribadi dalam mana-mana kempen pilihan raya.Masih ada banyak isu atau perkara yang boleh diketengahkan supaya pengundi membuat penilaian mereka dan menentukan calon yang bakal diundi nanti.Jika benar Pas sudah banyak membangunkan Kelantan dan memajukan rakyatnya, tidak seharusnya mereka gusar dengan apa juga kempen BN.

Uar-uarkan apa sahaja yang telah dan akan mereka lakukan untuk pengundi Manek Urai, kemudian biarkan pengundi menentukannya.Bagi BN, inilah masanya untuk merapatkan barisan dan memastikan jentera parti bergerak mengikut apa yang rencanakan oleh pemimpin tertinggi.Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa BN boleh melakukan kejutan di Manek Urai perlu disusuli dengan kerja keras oleh semua ahli BN khususnya UMNO.Muhyiddin tentunya tidak bercakap kosong tetapi atas asas dan keyakinan bahawa BN memang berupaya melakukannya dan membawa sinar baru kepada negeri Kelantan.

Jadikanlah pilihan raya kecil Manek Urai ini sebagai pilihan raya contoh dengan kempen yang bersih, berhemah dan sihat atas dasar mahu memberikan yang terbaik kepada rakyat.
Posting by: Utusan

No comments:

Post a Comment