Thursday, July 9, 2009

Merapatkan perbezaan di Manek Urai

WAN Musa Wan Hussin yang mencecah usia hampir 60 tahun cukup seronok diajak berbual tentang musim pilihan raya yang muncul lagi di Manek Urai, khususnya di kampungnya - Chuchoh Puteri A.Bagi petani kawasan penempatan berbukit itu, Chuchoh Puteri bagaikan 'kampung Malaysia' - pengunjung dari pelbagai negeri turut berkampung, pembesar dua parti silih bertandang memberi pesan.Seperti di penempatan lain dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Manek Urai, siang dan malamnya tidak lagi sunyi manakala penduduk setempat tidak lagi mudah memadam lampu untuk tidur awal seperti selalu.

''Ketika ini musim durian baru bermula dan umumnya penduduk mempunyai dusun sekurang-kurangnya 0.8 hektar. Kalau ada yang memiliki dusun durian kunyit, memang durian runtuhlah.''Di kebun mungkin RM13 sekilo tetapi apabila di luar sampai RM18 dan RM20. Ramai yang harap semua luruh sepanjang musim pilihan raya ini," ujarnya sambil ketawa kecil.Selain suasana itu, Wan Musa merasakan ada suatu yang agak berbeza iaitu soal menelah calon mana yang menang dan kalah, yang boleh bangun menjulang tangan atau sekadar bersandar lelah.

Dalam beberapa pilihan raya, umumnya mudah sahaja orang ramai termasuk dirinya meramalkan peluang calon atau parti, walaupun masih jauh hari mengundi dan umumnya mereka tidak silap.''Kali ini payah orang ramai untuk menyebut sama ada calon BN atau calon Pas yang menang," katanya ketika menebas di kebunnya.Pas dikatakan mengharapkan bukan Tuan Aziz Tuan Mat yang menjadi calon BN supaya laluan mereka untuk mengekalkan kerusi lebih mudah kerana jentera parti sukar dipecah belah malah mereka lebih ghairah memenangkannya.

Ada kalangan yang sentiasa mengundi Pas sepanjang rentetan pilihan raya umum di Manek Urai mengakui mereka sendiri sukar untuk putuskan pendirian siapa yang akan diberi undi.Seperti calon Pas (Mohd. Fauzi Abdullah) yang sama-sama menetap di Guchil - di pinggir bandar ini, mereka juga saling dikenali ramai dan kelihatan agak dekat dengan masyarakat tempatan.Mereka juga mempunyai rantaian hubungan keluarga dan sahabat handai dan semua ini membuat ramai yang 'malu mata'.

Bezanya seorang pemborong ikan yang kelebihannya berserban dan seorang lagi pengurus di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang lebih muda - namun kedua-duanya tidak terpisah daripada memenuhi keperluan masyarakat dengan kerja mereka.Biarpun orang politik selalu menyebutkan calon hanya wakil parti tetapi bagi orang seperti Wan Musa, soal siapa calon di Manek Urai lebih utama daripada mengambil kira parti mana yang lebih Islam kerana ia lakon wayang lama yang diulang-ulang.

Soal sama ada memilih Islam (yang bagaikan dijadikan ganti nama parti Pas) atau BN yang didakwa oleh Pas sebagai sesat juga bukan ukuran sebenar, setelah UMNO dan BN menang beberapa kali termasuk pada tahun 1982 dan 2004.Mungkinkah Tuan Aziz dapat mewakili jiwa mereka dan memberikannya peluang bagi menterjemahkan kelak atau imej serban Mohd. Fauzi masih melambangkan nilai Islam sebenar dan setiap undi mereka tentunya lebih mahal daripada durian kunyit.

posting by: WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

No comments:

Post a Comment